Sebenarnya ini adalah ulasan tertangguh ketika demam saga terakhir Star Wars mula melanda seluruh dunia. Tapi penulis lebih berminat mengulas tentang filem ini yang rasanya baru selesai ditayangkan di seluruh pawagam negara.
Tentang Dia berkisar tentang protoganis bernama Gadis yang dibelenggu rasa sakit dikhianati. Kekasihnya menghamilkan sahabat baiknya. Dalam masa yang sama rakan sekelas Gadis, Randu cuba meraih cintanya meski pun tanpa jawapan pasti dari Gadis. Gadis juga selalu dikutuk oleh 3 orang perempuan kacang hantu.
Gadis berjumpa seorang minah rocker, Rudi. Mereka berkawan baik dan Rudi banyak membantu Gadis untuk bangkit dari sejarah yang menyakitkan. Naratif Tentang Dia bergerak dengan baik biar pun tanpa mewujudkan watak kekasih dan sahabat baik Gadis. Watak-watak filem ini hanya berputar sekitar Gadis, Rudi dan Randu.
Tentang Dia memaparkan konflik jiwa Gadis yang tertekan dengan cintanya yang dikhianati. Begitu juga dengan kekalutan jiwa Randu yang kecewa kerana cintanya tidak diterima Gadis. Mengenai Rudi, para penonton pasti mengatakan wataknya menjurus kepada seorang lesbian. Terlalu menyayangi dan melindungi Gadis dan pengarahnya berjaya menghuraikan masalah psikologi yang dialami Rudi yang mengalami trauma kerana kematian adiknya yang didera bapa sendiri ketika kecil. Gadis dianggap sebagai pengganti adiknya itu. Klimaks adalah pada kematian Rudi yang kemalangan dan bertautnya cinta antara Gadis dan Randu.
Plot-plot cerita bergerak kukuh. Lihat pada kedai makan, sekolah, bilik dan atas bangunan. Persekitaran banyak bermain dengan simbolik-simbolik tentang kesuraman dan kesakitan. Mood penonton berjaya diusik oleh gerak kamera dan tata cahaya yang digarap dengan baik sekali. Sesuai untuk cerita bernada melankolik. Runut bunyi sangat bersesuai dan relevan pada setiap adegan dan babak di dalam filem. Dinyanyi oleh sekumpulan anak muda di kedai makan milik bapa angkat Rudi. Kewujudan elemen puisi di dalam filem seakan menjadi penyegar dan penyuntik elemen pesona ke dalam jiwa penonton.
Adegan pasangan kekasih berpelukan di dalam hujan kelihatan agak klise. Adegan seperti ini acap kali diambil oleh para pengarah filem bagi menggambarkan elemen romantisme (lihat filem Sembilu). Kenapa tidak mengambarkan Gadis keluar menadah payung agar Randu tidak terus kebasahan.
Lihat pula pada perbualan Gadis dan Rudi mengenai rancangan Antara Berani dan Takut. Rudi memberitahu bahawa rancangan itu sudah diulang tayang beberapa kali. Barangkali satu sindiran sosial untuk media televisyen Indonesia. Kelihatan sama seperti sindiran filem Melayu yang hampeh di dalam filem Sepet.
Tentang Dia berjaya dari aspek teknikal dan olahan kamera, pencahayaan dan runut bunyinya. Naratif ceritanya baik berbanding filem AADC yang agak keremajaan. Pengarahnya berjaya menyelongkar konflik jiwa yang kacau dan suasana sosial remaja bahawa setiap sesuatu yang berlaku adalah bersebab dan sebab-sebab itu berjaya dihuraikan si pengarah tanpa membodohkan jiwa para penontonnya. Muktamadnya, pengarah menegaskan bahawa hanya diri seseorang itu sahaja yang berhak memilih jalan bahagianya atau mahu terus duduk di dalam kepompong diri yang sakit dan sepi.
Penulis memberi markah 3.5/5. Dan 1.5 ditolak pada adegan hujan di akhir cerita.
No comments:
Post a Comment