Friday, June 10, 2005

Filem dan Rakaman Zaman

Di Astro Ria ada cerita seram + thriller. Lakonan Shukery Hashim dan Noorkumalasari. Ada juga Yusof Haslam, Noraini Hashim, S Roomai Noor dan Abu Bakar Omar. Penulis dapat mengagak bahawa filem ini dibikin sekitar lewat 80-an berdasarkan model Proton Saga dan rantai kunci bertulis EON yang masih baru dan berkilat.

Tajuk cerita tu Rahsia. Pengarahnya Hafsham. Rujuk filemkita.com - Rahsia

Selepas tengok cerita tu penulis mula sedar bahawa sesebuah filem sebenarnya bertindak sebagai album kepada sesuatu peristiwa pada masa filem itu dibikin.

Perasan tak surat khabar bertulisan monotype corsiva, lelaki menyimpan jambang, radio mini compo, perempuan berfesyen rambut mengerbang , kaum lelaki berbaju belang, kanak-kanak berseluar pendek dan singkat, gemar berkelah di pantai, rumah kuarters Inggeris yang besar dan seram dengan pokok-pokok pukul lima merimbun, basikal roda 4 dan anak patung seperti chucky.

Hati penulis berbisik, ingatan melayang.

Cerita ini mengingatkan penulis suatu pada masa dahulu, sebuah zaman bernama kanak-kanak. Betapa cerita seram seperti itu begitu merasuk rasa takut yang sungguh-sungguh. Betapa latarnya seakan menyalin realiti kehidupan masyarakatnya ketika itu lalu dipaparkan semula.

Tetapi sayang filem Melayu hari ini gemar menayang pelakonnya yang berkereta barat dan latar golongan-golongan elit yang agak lelucon dan keterlaluan.

Jadi apa yang boleh dikenang apabila penulis melihat kembali filem-filem hari ini pada 10 tahun akan datang?

Apakah masih ada pengarah yang mahu mengambil Proton Wira yg bergerak, latar manusia menaiki RapidKL, menaiki kapcai atau melepak di kedai mamak.

Filem bukan sekadar olahan atau interpretasi daripada naratif skrip yang cuba divisualkan tetapi juga sebagai satu medium rakaman salinan masyarakat, situasi masa dan zaman yang berlaku pada seputar hidup pengarah itu sendiri. Filem boleh saja bertindak sebagai kamera sejarah yang mengindikasikan tahap pemikiran seseorang pengarah pada masa itu sama ada mereka maju ke hadapan atau mundur ke belakang dalam meluahkan idea dan ideologi dalam pembikinan filem masing-masing.

No comments: