Tuesday, April 05, 2005

siti lagi!

Tahun ini tahun Siti lagi.

Dia berjaya membuat konsert solo di Royal Albert Hall, London.

Dua hari kemudiannya Siti menang pula Bintang Paling Popular 2004 dengan undian sebanyak 110, 585. Hebatkan?

Tak ada siapa-siapa ke nak bagi Siti anugerah Datuk.

Ye la, menyanyi memang tak seteruk mendaki Everest atau pun mengelilingi dunia.
Mungkin sebab Siti tak pandai menulis novel politik yang berdalil-dalil. Atau pun membuat rekod dunia menyanyi 48 jam tanpa henti.

Mungkin juga faktor usia kerana Siti akan jadi Datuk paling muda dalam sejarah negara! Sekiranya Siti mendapat Datuk apakah ada lagi peluang untuk jejaka-jejaka tanpa title untuk menawan hatinya? Atau pun membuka peluang untuk Datuk-Datuk mencuba nasib mereka. BerDatuk dan berDatinkan Siti! Wow..!!

Kedudukan Siti sekarang sudah mendahului usia dan pengalamannya. Siti seperti ahli politik yang memerlukannya untuk berkempen. Bezanya Siti berkempen melalui nyanyiannya dan bukan politik wang! Siti bertarung setiap tahun dan bukannya setiap 5 tahun sekali.

Barangkali sanjungan rakyat sudah cukup sebagai anugerah yang tidak ternilai untuk Siti. Harap dia berhati-hati dengan sanjungan-sanjungan itu. Harap-haraplah....

Friday, April 01, 2005

kung fu hustle


Filem terbaik Hong Kong digondol oleh filem Kung Fu Hustle arahan Stephen Chow @ Chow Sin Chi.

Menonton filem terbarunya itu seperti tiada isu besar yang mahu diangkat melainkan sebuah filem dedikasi khas untuk mendiang Bruce Lee yang amat dikagumi oleh beliau.

Berbanding filemnya terdahulu, Shaolin Soccer, filemnya kali ini ditambahkan lagi dengan efek khas dan masih berteraskan keunikan seni mempertahankan diri Cina.

Naratif ceritanya masih bergerak dalam bentuk yang klise. Watak putih menentang watak hitam. Watak hitam semestinya terlebih dahulu mempunyai kuasa yang super berbanding watak putih dan watak putih akhirnya menang. Macam cerita Ultraman.

Jadi apa yang istimewanya filem garapan beliau ini? Ketulenan.

Komedi berbentuk komikal yang dihasilkan kelihatan segar pada setiap kali beliau tampil dengan filemnya.

Siapa pernah terfikir menjadikan pisau yang tertusuk di bahu sebagai side mirror dalam babak kejar mengejar. Stephen Chow berjaya melakukannya dengan sukses.

Di Malaysia, komedi seperti ini pernah dihidangkan di dalam filem Jutawan Fakir. Sudah semesti komedinya lebih menumpukan pada komedi berbentuk aksi berbanding komedi dari segi linguistiknya.

Perempuan berwajah buruk, lelaki beraksi pondan, babak menampakkan punggung, bibir lebam dipukul sehingga leper seperti itik memberikan kredit yang lebih ke atas kejayaan filem ini.

Sesekali penonton juga dibawa menjadi terharu ketika babak rompakan di warung teman wanitanya. Teman wanitanya menghulurkan lolipop pecah yang masih disimpan sejak kecil dulu.

Komedi di dalam Kung Fu Hustle berjaya menjadi formula yang berkesan untuk menawan hati para juri filem.