Saturday, October 07, 2006

hijau, kuning dan aku

Ahmad Basri diminta jangan berhenti bersuara.

PERBALAHAN yang berlaku antara Datuk Ahmad Basri Akil dan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Pahang, Datuk Jamal Nasir tidak sepatutnya berlarutan. Tiada faedah yang akan diperoleh.

Saya bukan berasal dari Pahang dan juga bukan orang Kedah, tetapi saya kini mencari rezeki di Alor Star, Kedah.

Walaupun mereka sudah lama berkhidmat dan berjasa di negeri masing-masing, tapi berdasarkan rekod kita akan dapati Ahmad Basri lebih menonjol dalam banyak perkara. Oleh itu beliau mempunyai sebab untuk lebih banyak memberi pandangan dan teguran kepada FAM.

Malah jika kita bandingkan kejayaan kedua-dua pasukan bola sepak negeri, pencapaian Kedah lebih menonjol berbanding Pahang. Lihatlah senarai pemain pasukan negeri Kedah yang rata-rata muda dan anak tempatan. Begitu juga pasukan belianya, bawah 12 tahun, pasukan MSSM dan pasukan SUKMA lebih jauh menonjol berbanding Pahang.

Lihat pula Pahang. Berapa ramai pemain Liga M Pahang anak tempatan? Bukankah pasukan SUKMA Pahang dibelasah 9-0 semasa SUKMA XI. Mengapa pasukan Kedah tidak ketandusan bakat baru? Ini adalah kerana pembangunan bola sepaknya yang saya percaya hasil idea dan usaha Ahmad Basri juga.

Saya menjemput Jamal Nasir datanglah ke Alor Star dan lihat pada setiap hujung minggu, anak-anak Kedah pelbagai peringkat umur berbaju hijau kuning diajar dan diasuh untuk menjadi bintang bola sepak negeri dengan cara yang lebih sistematik.

Sebaliknya, orang-orang kanan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) lebih sibuk mengintai pemain negeri mana yang ingin dibeli untuk pasukan Pahang. Dalam banyak perkara berkaitan, saya menyebelahi Ahmad Basri kerana beliau buat apa yang beliau cakap. Kepada Ahmad Basri, jangan berhenti bersuara dan memberi pandangan.

- RAHMAN MAHMOT,
Alor Star.

...........keratan akhbar Utusan Malaysia hari ini dalam ruangan forum.

No comments: