Friday, April 01, 2005

kung fu hustle


Filem terbaik Hong Kong digondol oleh filem Kung Fu Hustle arahan Stephen Chow @ Chow Sin Chi.

Menonton filem terbarunya itu seperti tiada isu besar yang mahu diangkat melainkan sebuah filem dedikasi khas untuk mendiang Bruce Lee yang amat dikagumi oleh beliau.

Berbanding filemnya terdahulu, Shaolin Soccer, filemnya kali ini ditambahkan lagi dengan efek khas dan masih berteraskan keunikan seni mempertahankan diri Cina.

Naratif ceritanya masih bergerak dalam bentuk yang klise. Watak putih menentang watak hitam. Watak hitam semestinya terlebih dahulu mempunyai kuasa yang super berbanding watak putih dan watak putih akhirnya menang. Macam cerita Ultraman.

Jadi apa yang istimewanya filem garapan beliau ini? Ketulenan.

Komedi berbentuk komikal yang dihasilkan kelihatan segar pada setiap kali beliau tampil dengan filemnya.

Siapa pernah terfikir menjadikan pisau yang tertusuk di bahu sebagai side mirror dalam babak kejar mengejar. Stephen Chow berjaya melakukannya dengan sukses.

Di Malaysia, komedi seperti ini pernah dihidangkan di dalam filem Jutawan Fakir. Sudah semesti komedinya lebih menumpukan pada komedi berbentuk aksi berbanding komedi dari segi linguistiknya.

Perempuan berwajah buruk, lelaki beraksi pondan, babak menampakkan punggung, bibir lebam dipukul sehingga leper seperti itik memberikan kredit yang lebih ke atas kejayaan filem ini.

Sesekali penonton juga dibawa menjadi terharu ketika babak rompakan di warung teman wanitanya. Teman wanitanya menghulurkan lolipop pecah yang masih disimpan sejak kecil dulu.

Komedi di dalam Kung Fu Hustle berjaya menjadi formula yang berkesan untuk menawan hati para juri filem.

No comments: